Saturday, March 20, 2010

Dunia Mihrab Ibadah


Pertamanya marilah kita terus-menerus bersyukur ke hadhirat Allah SWT kerana kita dipanjangkan umur dan diberi kesempatan lagi untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini dalam rangka mengabdikan diri atau berubudiyah kepada Allah. Dan kita mengharapkan semoga hidup kita ini diberkati dan diredhai oleh Nya.
Untuk itu maka kita, sama ada individu, keluarga, masyarakat dan umat hendaklah membina kehidupan Islam dari semua sudut (aspek) : kita dikehendaki menjadi Muslim dari sudut aqidah, menjadi Muslim dari sudut ibadah, menjadi Muslim dari sudut akhlaq dan keperibadian, menjadi Muslim dari sudut aqal pemikiran dan cara berfikir, menjadi Muslim dari sudut sosial, mencari rezeki dan sebagainya.
Pendekkata seluruh aspek kehidupan kita hendaklah berada dalam acuan (shibghah) Islam, barulah nanti kehidupan kita seluruhnya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Dan barulah hidup dan kehidupan kita seluruhnya menjadi ibadah kepada Allah dalam artikata sebenarnya, menepati firman Allah dalam ayat 56 Surah ad Dzariyaat :


Maksudnya: “ tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah (memperhambakan diri) kepada Aku (Allah )“
Akhi Muslim Sekalian !
Apabila Allah SWT telah tentukan (tetapkan) bahawa matlamat dan tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT semata-mata untuk beribadah (berubudiyah ) (yakni memperhambakan diri) kepada Allah, maka dapat difahami bahawa pentas dunia adalah Mihrab tempat beribadah dalam artikata sebenarnya. Tempat untuk hamba-hamba Allah ini melaksanakan kerja-kerja, amalan-amalan, aktiviti-aktiviti dan program-program yang syar'i. (yang tidak berlawanan dengan hukum Syara', yakni hukum Allah SWT. Dan layak mendapat pahala atau ganjaran baik di sisi Allah SWT. Atas dasar ini maka tempat ibadah itu bukan semata-mata di masjid atau Mushalla sahaja, bahkan rumah-rumah, sekolah-sekolah, dewan-dewan, pejabat-pejabat, ladang-ladang, gedung-gedung perniagaan, kilang-kilang perusahaan, padang permainan, tempat rekreasi dan riadlah, tempat-tempat pelancongan, peranginan dan perkelahan serta kenderaan-kenderaan dan sebagainya akan menjadi ‘Mihrab‘ (tempat ibadah kepada Allah) dan mendapat pahala atau ganjaran baik di sisi Allah sekiranya digunakan dan diurus dengan cara yang dikehendaki oleh ‘Syara' (atau tidak berlawanan dengan hukum ‘ syara‘ – hukum Allah SWT), bahkan diberi keberkatan serta perlindungan oleh Allah SWT. Perhatikanlah firman Allah dalam al Quran ayat 55 Surah an Nuur :



Maksudnya: “ Allah SWT. telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman diantara kamu serta orang-orang yang beramal Shaleh bahawa mereka akan diberi warisan kekuasaan di muka bumi ini sepertimana telah diberikan kepada orang-orang sebelum mereka dan akan diteguhkan kedudukan Din (jalan hidup mereka) yang telah diredhai untuk mereka, juga (Allah SWT. ) akan gantikan suasana ketakutan mereka dengan suasana keamanan. Mereka memperhambakan diri (beribadah) kepada Aku (yakni kepada Allah) dan tidak melakukan sebarang syirik terhadapKu (Allah) dengan sesuatu jua. “
Akhi Muslim!
Konsep dan Tasawur dunia atau bumi ini sebagai ‘Mihrab‘ (tempat ibadah – memperhambakan diri kepada Allah) bukan ajaran baru, tetapi itulah hakikat ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan telahpun terbentuk suatu jamaah bahkan umat yang benar-benar menghayati 'ubudiyah (pengabdian) kepada Allah dalam semua aspek kehidupan mereka iaitu lahir generasi awal Islam di bawah pimpinan dan bimbingan Rasulullah SAW di zaman Madany berpusat di Madinah Al munawwarah bahkan lahir pemerintahan yang melaksanakan hukum-hukum yang diwahyukan oleh Allah SWT.
Akhi Muslim!
Sewajarnya apabila kita telah menganut Islam – menjadi orang-orang yang beriman kepada Allah SWT, maka hidup kita mestilah mengikut cara hidup Islam dalam semua bidang dan semua hal dan sekaligus mengketepikan cara hidup serta budaya hidup yang tidak Islamik. Hendaknya kita sedar bahawa dalam kehidupan di dunia ini terdapat banyak golongan manusia dengan cara dan matlamat hidup masing-masing. Sehubungan dengan itu Mujahid Islam Fathi Yakan dalam kitabnya ‘ Madza Ya'ni Intima'i Lil Islam‘ telah membahagikan manusia kepada tiga (3) golongan :
Pertama : Golongan yang hidup untuk dunia semata-mata.

Mereka ini adalah golongan yang berfaham kebendaan. Golongan tersebut digelar ‘Addahriyyun‘. Mereka tidak beriman adanya Hari Qiamat (Hari Akhirat). Hal mereka itu telah dijelaskan Allah SWT dalam al Quran ayat 29 Surah al An’aam :


Maksudnya: “ Dan mereka telah berkata : Tidak ada kehidupan melainkan kehidupan kita di dunia ini sahaja dan kita tidak akan dibangkitkan kembali (setelah mati). “

Kedua : Golongan yang sesat diantara dunia dan akhirat.

Golongan ini mengaku beriman, tetapi sesat dalam amalan dan aktiviti hidup mereka sedang mereka menyangka bahawa mereka melakukan kebaikan. Sehubungan ini al Quran telah menjelaslan dalam ayat 103 – 104 Surah al Kahfi:


Maksudnya: “ Katakanlah. Mahukah Kami (Allah) beritahu kepada kamu keadaan orang-orang yang amat rugi amalan mereka. Iaitu orang-orang yang sesat (sia-sia) usaha mereka dalam kehidupan di dunia ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka melakukan usaha-usaha (kerja-kerja) yang baik. “

Ketiga : Golongan Mukmin sebenarnya yang menganggap dunia ini ibarat ladang untuk akhirat

Mereka ini mengetahui hakikat hidup dan nilai hidup di dunia berbanding dengan akhirat. Mereka benar-benar faham firman Allah SWT dalam ayat 32 Surah al An’aam :


Maksudnya: “ Kehidupan dunia ini tiada lain melainkan (ibarat) permainan dan senda gurau sahaja. Sedangkan kampong akhirat (tempat tinggal di Hari Akhirat) itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa. Apakah anda semua tidak memikirkan hal tersebut?.

Bagi orang-orang yang yakin bahawa dunia ini ibarat ladang untuk Hari Akhirat, mereka anggap dunia ini juga satu medan perlumbaan untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT serta mencari keredhaanNya (mardlatillah) semata-mata. Seluruh hidup mereka diwaqafkan untuk kerja-kerja Islam –Khidmah Dinillah -, ilmu pengetahuan, kepakaran, kemahiran, hartabenda, tenaga mereka dicurahkan bagi mencapai keredhaan Allah SWT.



Maksudnya:''Dan diantara manusia ada orang yang mengorbsnksn dirinya karena mencari keredlaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya''.( Surah Al Baqarah ayat 207).
Akhi Muslim!
Hidup sebagai Muslim Mukmin yang bertaqwa kepada Allah adalah suatu tuntutan Allah (Taklip Rabbani). Kita dituntut membuang aqidah-aqidah yang lain, hanya dikehendaki mengambil pakai aqidah Islam sahaja – aqidah Iman dan Tauhid kepada Allah SWT semata-mata. Dikehendaki kita beribadah hanya kepada Allah s.w.t sahaja., dikehendaki berakhlaq dengan akhlaq Islam sahaja, dikehendaki mengikut Jalan Islam sahaja – jalan yang diberi jaminan dan diredhai oleh Allah SWT, kita dikehendaki buangkan fikrah-fikrah yang lain, hanya ambil pakai Fikrah Islam sahaja, kita dikehendaki waqafkan segala tenaga dan usaha kita untuk Islam, agar Islam kembali berkuasa. Allah SWT telah berjanji untuk memnbeli jiwa raga dan hartabenda orang-orang Mukmin dengan bayaran yang amat mahal iaitu ‘Al Jannah‘ (Syurga Allah di Hari Akhirat). Firman Allah dalam ayat 111 Surah at Taubah :


Maksudnya: “ Bahawa sesungguhnya Allah SWT membeli daripada orang-orang Mukmin itu diri dan hartabenda mereka dengan menganugerahkan ‘AL Jannah‘ (syurga) untuk mereka (sebagai ganjarannya). “
Akhi Muslim!
Marilah kita beriman dan penuh yakin kepada janji Allah SWT. Syurga adalah ganjaran baik bagi orang Mukmin yang taat serta iltizam terhadap ajaran Allah SWT– ‘Al Jannah‘ (Syurga Allah di Hari Akhirat) itu adalah termasuk di dalam perkara-perkara ghaib (Al umur ghaibiyah) yang tidak dapat dijangkau dengan aqal semata-mata, tetapi dijangkau dengan keImanan yang teguh kepada Allah SWT kerana aqal manusia amat terbatas, tidak dapat mengetahui perkara-perkara yang ghaib melainkan diberitahu melalui wahyu Allah SWT yang telah disampaikan kepada RasulNya. Dan Allah SWT menjadikan Iman terhadap perkara-perkara ghaib itu salah satu daripada ukuran serta pengenalan bagi mengenal orang-orang yang bertaqwa (AlMuttaqin). Firman Allah :


(Surah al Baqarah ayat 2 hingga 5)
Maksudnya: “ Itulah kitab (al Quran) yang tiada sebarang keraguan di dalamnya. Menjadi pertunjuk (bimbingan) bagi orang-orang yang bertaqwa ; iaitu orang-orang yang beriman terhadap perkara ghaib (seperti hal-hal yang berlaku di Hari Akhirat) dan mereka yang mendirikan solah serta memberi infaq (Infaq fi sabilillah) sebahagian rezeki yang Kami (Allah) kurniakan. Dan orang-orang yang berIman kepada wahyu yang telah diturunkan kepada engkau (Nabi Muhammad SAW) juga wahyu yang telah diturunkan (kepada Rasul-rasul) sebelum engkau. Juga mereka yang beriman (penuh yakin) adanya Hari Akhirat. Mereka itulah orang-orang yang berada di dalam Hidayah Allah dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan (kebahagiaan) (di sisi Allah SWT).
''wassalam''
JH
Sumber rujukan
. ماذا يعنى إنتمائى للاسلام - فتحى يكن
. طريق الدعوة – مصطفى مشهور
Related Posts with Thumbnails